top of page
 
 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
​
Alhamdulillah, dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, dapat kita bertemu sempena majlis perasmian PSN Publications Sdn Bhd yang beribu pejabat di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam ini. Sebagai melahirkan tanda kesyukuran juga kami turut mengadakan majlis khatam al-Quran  dan doa selamat.
​
Amanah yang diberikan kepada saya sebagai Ketua Pengarah Eksekutif di sini lebih saya anggap sebagai tanggungjawab yang besar untuk meneraju syarikat penerbitan yang berpotensi tinggi ini. Walaupun begitu, saya tetap menerima tugas baru ini dengan berbesar hati dan senang sekali kerana diberi kepercayaan untuk sama-sama menyertai barisan hadapan organisasi bersama tokoh ulama yang disegani di Nusantara, Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
​
Saya melihat industri penerbitan tanah air kita mampu untuk berkembang ke persada dunia tanpa ada had dan sekatan malah pada masa akan datang industri penerbitan boleh menjadi sumber rujukan utama dunia ilmu dan ketamadunan insan.
​
Dengan ini kita berharap misi PSN untuk menerbitkan lebih banyak buku dan majalah yang menyentuh segenap segi kehidupan umat Islam melalui penulisan oleh ilmuwan Islam akan tercapai. Mudah-mudahan.  Begitu juga kita berhasrat untuk memasyarakatkan umat Islam dengan bahan bacaan yang mempunyai kualiti ilmu yang kukuh melalui rujukan dan pendapat sahih. Di samping itu, kita berharap dapat memurnikan kefahaman agama masyarakat daripada penulisan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab.
​
Kerana itu kita kuat berpegang pada dasar penerbitan yang dirangka iaitu menerbitkan dan mengedarkan buku dan majalah berlandaskan aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah. Para penulis bahan bacaan kita pula merupakan golongan ilmuwan yang diakui taraf keilmuannya. Produk penerbitan kita juga menggunakan bahasa yang mudah difahami dan selaras dengan Gaya Dewan.
​
Dengan ini, saya bagi pihak PSN Publications berharap khususnya para ilmuwan agama turut sama-sama menyumbang buah fikiran dan ilmu pengetahuan agar sama-sama dapat dimanfaatkan oleh masyarakat  melalui bahan-bahan  terbitan syarikat kami. Dengan kerjasama dan ukhuwah Islamiah yang kita terapkan bersama ini akan dapat menyegarkan kembali pengetahuan masyarakat Islam untuk menangkis sebarang kefahaman yang mengelirukan dalam aspek kehidupan seperti muamalah, ibadah, munakahat dan sebagainya.
​
Akhir bicara, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus bekerja sepenuh daya demi merealisasikan majlis perasmian syarikat ini. Semoga Allah merahmati usaha kita dan memberikan keredhaannya. Amin.
bottom of page