top of page

Syeikh Nuruddin nama lengkapnya ialah Muhammad Nuruddin bin Hj. Marbu bin Abdullah bin Thayyib. Dilahirkan di perkampungan "Harus", Amuntai, Banjarmasin pada 1 September 1960 Masihi dari keluarga yang mulia dan kuat beragama. Datuknya sebelah ibu, Hj Muhammad Sobri merupakan salah seorang Ulama' besar Amuntai, meninggal dunia pada tahun 1984 Masihi.


Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung Harus. Kemudian menyambung pengajian di sekolah agama "Normal Islam"- Rasyidiah Khalidiah di Amuntai pada tahun 1974 Masihi. Pada tahun 1974 Masihi juga, beliau telah berhijrah ke Mekah bersama keluarga dan beliau menetap di sana sehingga akhir tahun 1982.


Di Mekah, beliau memasuki :Madrasah Saulatiah al-Hindiah" dengan berguru kepada beberapa orang ulama' besar, diantaranya al-Allamah Sayyid Attas, Syeikh Abdullah Said al-Lahji, Syeikh Ismail Osman Zain al-Yamani, Syeikh Muhammad I'wad al-Yamani, Syeikh Abdul Karim al-Banjari dan lain-lain lagi. Di samping itu, beliau juga sentiasa mengikuti beberapa halaqah ilmu di Masjidil Haram dan rumah-rumah Syeikh di sekitar Kota Mekah. Di antara ulama' besar lain yang sempat beliau berguru Syeikh Hasan Masyyat, Syeikh al-Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Zakaria Bila al-Indonesy, Syeikh Muhammad Syibli al-banjari, Syeikh Adnan al-Anfani al-Indonesy dan lain-lain lagi. Pada tahun 1983, beliau telah menyambung pelajaran di Universiti al-Azahar, Mesir dengan berjaya memperoleh ijazah BA dalam kuliah Syariah. Kemudian pada tahun 1990 beliau berjaya memperoleh Diploma "Dirasat Ulya" di Maahad 'Aali Li al-Diraasaat al-islamiah, Zamalik, Mesir.


Semasa di Mesir beliau telah mengadakan Halaqah pengajian ilmu yang diberi nama "Tafaqquh fi al-Din" untuk para pelajar Nusantara. Kebanyakan pelajar yang mengikuti halawag ilmu ini ialah para pelajar Malaysia. Pengajian halaqah ini telah berjalan mencecah hampir 20 tahun sehingga beliau telah digelar sebagai :Al-Azhar al-Thani". Sehingga sekarang setiap kali tibanya bulan puasa, beliau akan ke Mesir mengadakan "Daurah Ilmu" di sana. Sekembalinya dari Mesir beliau sempat menyumbang bakti ilmunya di Pondok Derang untuk beberapa tahun. Kemudian pada tahun 2004 beliau telah menubuhkan pondok sendiri yang dibri nama Ma'ahad Az-zein Al-Makki al-'Ali Littafaqquh Fiddien, Bogor Jawa Barat, Indonesia. Sekarang beliau dalam rangka menubuhkan pondok kedua di Bukit Pinang, Alor Star, Kedah, yang diberi nama Ma'ahad Nuruddin Li Tarbiah Wa I'dad al-Ulama' Wa al-Du'ah. Sehingga sekarang beliau telah mengarang dan mentahqiq lebih daripada 50 buah kitab.

bottom of page